Jauhi aliran promosi akidah bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah



Alhamdulillah dengan inayah dan pilihan Allah SWT, rantau ini telah menerima akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan beragama sehingga mempengaruhi cara menyusun masyarakat dan bernegara.

Dari sudut akidahnya, masyarakat negara ini jelas terbimbing dengan menolak akidah mensyirikkan Allah SWT seperti mengagungkan imam-imam tertentu seolah-olah seperti tuhan yang memiliki langit dan bumi seperti yang difahami oleh golongan Syiah.

Dalam kitab Al-Kafi jilid 1 halaman 409, bab “Dunia ini semua kepunyaan Imam” Muhammad bin Yaakub Al-Kulaini meriwayatkan dari Abi Abdillah “Sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan Imam. Dia boleh meletakkannya di mana di kehendakinya. Itu adalah satu kebenaran dari pihak Allah kepadanya.

Aqidah ini wajib ditolak kerana bertentangan dengan firman Allah SWT “Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah” [ Al-A’raf: 128 ] Firman Allah lagi “KepunyaanNya lah kerajaan langit dan bumi.” [ Al-Hadid: 2 ]

Umat Islam juga wajib menolak akidah yang ada di kalangan manusia terutamanya yang mereka istilahkan sebagai Imam mampu mengetahui perkara yang lalu dan yang akan datang dan tidak tersembunyi daripada pengetahuan mereka sesuatu pun. Sedangkan jelas lagi nyata bahawa hanya yang Maha Tahu adalah Allah SWT.

Perkara asas yang telah diperkukuhkan dalam akidah kita ialah Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada RasulNya yang terpelihara dengan jaminan Allah SWT kepada RasulNya yang terpelihara dengan jaminan Allah SWT. Itulah Al-Quran yang sama berada di tangan kita pada hari ini.

Sesiapa yang beriktiqad bahawa ia telah ditambah, dikurangkan atau diubah dan diselewengkan, maka ia menjadi kafir dan terkeluar dari agama Islam. Ibnu Hazm dalam kitab al Durrah fima yajibu I’tiqaduhu menyatakan “Sesiapa yang berkata bahawa berlaku kekurangan satu huruf pada Al-Quran selepas kewafatan Rasulillah SAW atau ditambah padanya satu huruf, maka sesungguhnya ia menjadi kafir dan terkeluar dari agama Islam, kerana ia telah menyalahi firman Allah Azza wa Jalla, hadith-hadith Nabi SAW dan ijma’ ulama Islam.

Maka jika pembaca dipromosi dengan satu aliran dan ajaran yang mengatakan Al-Quran hari ini adalah bukan asli dan telah diselewengkan manakala al Quran asli dan hakiki akan muncul bersama-sama imam yang akan muncul pada akhir zaman nanti.

Namun inilah yang dijadikan pegangan oleh golongan yang sesat ini sehingga seorang tokoh mereka bernama Al-Husin bin Muhammad Taqiyy An Nury At Tabrasy mengarang kitab khusus bagi membuktikan berlaku perubahan pada al Quran dan diberi tajuk Faslu al khitab fi ithbaat tahriif kitab robbil arbab bermaksud: Kata Muktamad dalam mensabitkan berlaku perubahan pada kitab Tuhan.

Para sahabat Rasulullah SAW mempunyai martabat yang tinggi dan kedudukan Istimewa dalam Islam. Mereka adalah generasi pertama yang telah memberikan pengorbanan dan berjihad bersama Rasulullah SAW untuk menegakkan Islam dan menghancurkan kuasa kufur dan syirik.

Kedudukan mereka diperakui dalam beberapa ayat al Quran seperti “ Dan orang-orang yang terdahulu dan terawal (memeluk Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik (tabi’in) , Allah reda kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. [ At-Taubah: 100 ]

Abu Zur’ah ((meninggal dunia 264) seorang ulama terkenal dari kurun ketiga hijrah dan guru kepada Imam Muslim menyatakan “ Jika kamu melihat orang mencerca mana-mana sahabat Rasulullah SAW, maka ketahuilah ia adalah seorang zindiq. Kerana bagi kita Rasulullah SAW adalah benar, dan Al-Quran itu benar; sesungguhnya yang menyampaikan kepada kita al Quran dan al Sunnah adalah sahabat-sahabatnya.

Mereka sesungguhnya ingin mencacatkan saksi-saksi kita untuk membatalkan al Quran dan al Sunnah .(Ibnu Hajar di dalam al Sowaiq al Muhriqah). Namun rujukan utama dalam golongan sesat ini seperti Muhammad Baqir Al-Majlisi yang digelar Khatimatul Muhaddithin menyebut di dalam Bihar Al-Anwar: “Sesungguhnya hadith-hadith yang mmenunjukkan kekufuran Abu Bakar dan Umar dan yang seumpama keduanya dan pahala melaknat mereka serta membersihkan diri dari mereka adalah lebih banyak daripada yang mampu disebut dalam kitab ini.”

Sebenarnya banyak lagi persimpangan yang sangat sukar untuk menemukan titik keharmonian khususnya yang bersangkutan dengan akidah antara kita yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan golongan-golongan yang jauh tersimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Berjuanglah untuk mengekalkan negara ini sebagai negara sunni.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

Read More

Tanda amal tidak diterima Allah



Amal kebaikan yang kita lakukan sudah pasti ada kesannya terhadap diri kita. Para ulama membincangkan perkara ini dalam topik tasauf dan raqaiq (perkara yang melembutkan hati).

Solat, puasa, zakat semuanya itu memberikan cahaya kepada seorang muslim. Apatah lagi jika dia menambah dengan ibadah sunat maka bertambahlah seri cahaya kesan daripada ibadahnya.

Cuma, kadangkala berlaku juga keadaan bila seorang itu seolah-olah tiada langsung kesan daripada ibadahnya. Dia menunaikan solat tapi dia terus mengumpat. Dia melazimi puasa sunat yang besar ganjarannya tapi dia kasar dalam bahasanya bila berkomunikasi. Sedih.

Rupanya ulama menamakan hal ini adalah tanda sesuatu amalan tidak diterima oleh Allah SWT. Seorang yang soleh sentiasa merancang untuk melakukan kebaikan, adapun orang yang mendekati Allah SWT sentiasa runsing adakah amalannya diterima oleh Allah SWT. Beza antara dua darjat.

Lihat semula diri kita. Boleh jadi amalan kita semua hilang ditiup angin riya dan sifat hati yang lain.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat

Read More

Mangsa kebakaran HSA selamat dikebumikan



Batu Pahat: Jenazah Yusof Hassan, 53, seorang daripada enam mangsa kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Separap di sini, hari ini.

Jenazah tiba di Masjid Ungku Ahmad, Kampung Separap, pada 9.30 malam dari HSA,disembahyangkan ratusan penduduk kampung sebelum dikebumikan hampir sejam kemudian.


Anak saudaranya, Jamaliah Abdul Hamid, 58, berkata, Allahyarham yang tidak pernah berumahtangga tinggal berseorangan di Kampung Parit Lapis, Separap.

"Allahyarham adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

"Sebelum itu, Allahyarham terjatuh di rumahnya hingga tidak sedarkan diri dan disyaki menghidap ketumbuhan di kepala.

"Kali terakhir bertemunya Ahad lalu, ketika melawat Allahyarham di wad berkenaan," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, hari ini.

Menurutnya, bapa saudaranya itu dikenali orang ramai kerana melakukan kerja kampung.

Katanya, keluarganya menerima berita itu apabila dihubungi sepupu yang menjaga arwah di HSA.

Walaupun terkejut dengan berita itu, katanya, mereka reda dan berharap kejadian sama tidak berulang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Ismail Roslan.

Read More