Seputar Hijrah RasuluLlah SAW



  1. Adakah betul Nabi TIDAK berhijrah pada 1 Muharram ? 
  2. Adakah Nabi tidak seberani Saidina Omar untuk berhijrah terang-terangan..? 
  3. Bagaimanakah kedudukan ibadat Hijrah pada zaman sekrang ? 



إِلاَّ تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Nota;

1. Tarikh Nabi keluar berhijrah dari Mekah ke Yathrib adalah pada malam 27 SAFAR tahun yang ke 14 selepas dilantik menjadi Rasul, bersamaan tahun 622M. Hijrah baginda ditemani oleh Saidina Abu Bakar.

2. Sejurus keluar dari Mekah, RasuluLlah bersembunyi terlebih dahulu di dalam gua THUR yang terletak hampir 5 batu dari bandar Mekah. Baginda dan Abu Bakar bersembunyi selama 3 hari menunggu waktu yang lebih selamat untuk meneruskan perjalanan.

3. Rasulullah sampai di Quba’ (5 km daripada Madinah) pada Isnin, 8 Rabiul Awwal iaitu selepas 11 hari perjalanan. Baginda mengasaskan pembinaan Masjid yang pertama d Quba’ dan berhenti di sana selama 4 hari. Akhirnya baginda SAW memasuki bandar Yathrib (ditukar menjadi MADINAH) pada Jumaat 12 Rabiul Awwal tahun 1 Hijrah.

4. Orang yang pertama memulakan kiraan tahun Hijrah ialah Saidina Omar iaitu pada zaman pemerintahannya sebagai Khalifah. Ketika itulah juga ditetapkan MUHARRAM sebagai bulan pertama dalam setahun dan juga peristiwa Hijrah RasuluLlah sebagai tahun yang pertama.

5. Meskipun RasuluLlah adalah orang yang paling berani dan meyakini bantuan Allah terhadap dakwahnya, baginda tetap merancang Hijrahnya dengan teliti dan bijaksana. Ini kerana Rasulullah adalah ikutan Muslimin sepanjang zaman, baginda ingin mengajar ummatnya bahawa Islam adalah agama yang bersifat realistik.Setiap perjuangan dan kejayaan adalah juga bergantung kepada kesungguhan dan usaha kita mengambil segala asbab, bukannya dilakukan semberono meskipun kita benar dan Allah bersama kita.

6. Hijrah merupakan antara ibadat yang tinggi kedudukannya di dalam Islam. Makna asal yang boleh difahami ialah berpindah daripada tempat yang menghalang kita daripada mengamalkan ajaran Islam ke tempat lain atau negara Islam yang membolehkan kita beramal dengan aman.

7. Hijrah juga boleh difahami secara tindakan individu iaitu berpindah @berubahnya seseorang daripada akhlak dan gaya hidup yang menyimpang dan maksiat – kepada akhlak dan gaya hidup yang mentaati syariat.

8. Namun makna “Hijrah ke Negara Islam” pada hari ini juga boleh membawa maksud dengan bergabung dan bersama kumpulan atau jamaah gerakan Islam yang berusaha dan beramal ke arah menegakkan Islam. Maka ia juga menjadi kewajipan kepada setiap Muslim berdasarkan kemampuannya.

WaLlah a’lam.



Ustz M Zulkifli Ibrahim
fb.com/uszul.ibrahim

Read More

Ramalan Banjir Besar



Pelabuhan Klang: Pihak berkuasa meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan tertentu di negeri ini berikutan fenomena air pasang besar mulai Ahad ini.

Daerah Klang antara kawasan yang dijangka terjejas disebabkan fenomena itu terutama lokasi berhampiran Selat Melaka seperti Sungai Serdang, Taman Melawis, Kampung Tok Muda, Pandamaran, Taman Selat Damai, Kampung Sungai Pinang dan Kampung Sungai Lima.


Berikutan itu, pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat giat melakukan persiapan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir kilat di kawasan berkenaan.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Klang Penguasa Bomba Ameer Haizal Sahak berkata, pihaknya akan membuka pusat kawalan serta menempatkan bot serta jentera di kawasan berisiko tinggi pada 15 Oktober ini iaitu sehari sebelum tarikh dijangka mengalami air pasang besar.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota di empat Balai Bomba dan Penyelamat di daerah Klang iaitu di Sungai Pinang, Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Andalas kini sudah bersiap sedia bagi sebarang operasi memindahkan penduduk jika banjir kilat berlaku.

“Sebanyak dua bot dan masing-masing sebuah jentera dan kenderaan utiliti ditempatkan di pusat pemindahan di Kampung Tok Muda kerana lokasi ini pernah mengalami banjir disebabkan fenomena sama pada September lalu.

“Anggota bomba juga bersedia 24 jam pada hari berkenaan kerana air pasang besar dijangka berlaku sekitar jam 6 pagi Ahad ini dan oleh sebab itu kita akan memulakan proses pemindahan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya selepas melakukan tinjauan di Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda, di sini, semalam.

Ameer berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa paras air akibat fenomena itu dijangka meningkat sehingga 5.7 meter berbanding paras direkodkan bulan lalu iaitu 5.6 meter.

“Keadaan akan bertambah buruk jika hujan lebat dan angin kencang dan sebab itu Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor sudah mengeluarkan arahan kepada semua agensi berkaitan dan pemimpin masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Penduduk juga diminta berpindah secara sukarela bagi keselamatan nyawa masing-masing kerana kita tidak tahu apa yang terjadi sehinggalah hari berkenaan,” katanya.

Read More

Rahsia Solat


"Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."
- Al-Ankabut , Ayat 45


Allah telah berfirman di dalam surah Al-Ankabut, Ayat 45, Bahawa.. Solat itu akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Namun, pada hari ini, kita dapat lihat, ramai orang yang mengerjakan solat, tetapi masih lagi melakukan perkara-perkara yang buruk.

Mengapakah perkara ini boleh terjadi?

Para ulama telah membahaskan tentang perkara ini. Secara ringkas, kesimpulan bagi perbahasan tersebut, para ulama berpendapat, "Solat" yang dapat melindungi manusia itu dari melakukan perkara-perkara keji dan mungkar, adalah solat yang benar-benar sempurna yang diterima Allah. Manakala, solat yang dilakukan secara sambil lewa dan tidak sempurna, tidak akan mampu menjadi pelindung dan benteng kepada orang yang mengerjakannya.

Hari ini, marilah kita ambil sedikit masa untuk menyemak semula amalan solat kita. Adakah ianya benar-benar sempurna dan sama sepertimana yang dilakukan oleh nabi kita Muhammad S.A.W.

Kerana nabi pernah berpesan... "Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat" hadis riwayat Bukhari & Muslim.

Apabila nabi bersolat, baginda akan mengerjakannya dengan penuh khusyuk, begitu juga dengan sahabat-sahabat nabi, mereka akan melakukan solat dengan penuh khusyuk.

Tetapi kita hari ini, apabila sedang melakukan solat, pelbagai perkara yang terlintas dan bermain di fikiran. Fikiran pun mula melayang-layang, pada ketika itulah juga pelbagai perkara akan mula diingati, dari perihal kerja pejabat, kepada perihal rumahtangga, hal kewangan, hal anak-anak dan pelbagai lagi.

Sedihnya... Amalan solat yang sepatutnya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah, menjadikan kita sebaliknya. Kita semakin jauh dengan Allah dan Allah pula benci kepada kita sewaktu kita sedang solat. Nauzzubillah min zalik.


Bagaimana Untuk Solat Dengan Khusyuk?

Di dalam 13 rukun solat, terdapat 3 kategori rukun. Rukun fi'li (pergerakan), rukun qouli (bacaan) dan juga rukun qalbi (hati). Untuk mendapatkan solat yang khusyuk, ketiga-tiga elemen solat ini perlu dilakukan dengan betul dan sebetul-betulnya.

Bacaannya perlu tepat dan diselami maksudnya, perbuatannya juga perlu selaras seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Kesedaran, kehadiran dan tumpuan sepenuh hati ketika solat, akan menjadikan setiap solat yang dikerjakan penuh bermakna dan berbekas nikmatnya di dalam diri.

Jika semuanya itu dapat dilakukan dengan sempurna, insyallah, pasti amalan solat kita diterima Allah dan benteng diri terhadap godaan nafsu dan syaitan untuk melakukan perkara-perkara keji dan mungkar, dapat diperkukuhkan.


Ustaz Hasnan Mengupas Perkara Ini Dengan Lebih Mendalam..
Prof Madya Dr. Hasnan Kasan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hasnan, adalah merupakan seorang pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan lulusan Universiti Al-Azhar. Beliau telah membuat kajian yang mendalam tentang solat selama beberapa tahun dan telah menulis sebuah buku yang bertajuk "Mari Memahami & Menghayati Bacaan Solat".

Buku tersebut kini turut diterbitkan di dalam bentuk ebook dengan judul "Rahsia Solat". 


Di dalam ebook tersebut, pembaca akan didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan solat. Dari topik pengenalan tentang keistimewaan solat, kunci-kunci untuk khusyuk dalam solat, penerangan secara terperinci tentang maksud bacaan-bacaan dalam solat serta apakah kesan-kesan yang akan diperolehi apabila seseorang itu dapat mengerjakan solat dengan sempurna dan terbaik.



Anda boleh rujuk link ini untuk maklumat yang lebih terperinci tentang ebook tersebut >> Rahsia Solat
Read More