Logo halal kita terbaik di dunia

JAKIM



BARU-baru ini sekali lagi Industri Halal di Malaysia dihebohkan pula dengan isu status Halal sebuah syarikat makanan berangkai yang telah ditolak Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ramai pengguna media sosial terkejut disebabkan hal ini. Seperti biasa bermacam-macam komen dapat dibaca apabila “keyboard warrior” bekerja. Saya sangat berharap semua pengguna di Malaysia sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Halal JAKIM di tempat pertama. Hal ini kerana, Standard Halal yang dikeluarkan JAKIM adalah yang terbaik di Dunia. Bertenanglah seketika, jangan percaya komen yang boleh diibaratkan seperti “baling batu sembunyi tangan” hingga pihak Hub Halal JAKIM meluluskan kembali sijil Halal tersebut setelah syarat yang ketat dipatuhi syarikat berkenaan.

Industri Halal Dunia

Buat pengetahuan semua, Industri Halal Dunia adalah bernilai USD 2.1 Trillion (HDC, 2013). Malaysia selaku pemain utama dalam Industri ini, sangat menjaga kualiti pensijilan Halal yang dikeluarkan hinggakan sistem pensijilan Halal JAKIM cuba ditiru oleh badan pensijilan Halal luar negara.

Tambahan pula, JAKIM telah bekerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia dan universiti tempatan serta pakar tempatan telah mengeluarkan MS 1500:2009 (Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan -Garis Panduan Umum sebagai panduan kepada semua yang terlibat dalam industri Halal di Malaysia. Malah, Standard bertulis seperti ini adalah yang pertama dikeluarkan di dunia berkaitan Industri Halal.

JAKIM sangat menjaga kualiti pensijilan Halal yang dikeluarkan bagi memastikan pengusaha yang benar-benar layak sahaja mendapat sijil tersebut. Sebagai contoh, syarikat yang ingin memohon pensijilan Halal perlu melantik pegawai Halal Eksekutif yang bertauliah secara tetap bagi menjaga urusan Halal di syarikat berkenaan. Perlunya, sekurang-kurangnya dua orang pekerja beragama Islam tempatan yang bekerja secara tetap terutama di bahagian produksi. Malah, majikan perlu menyediakan surau bagi membolehkan pekerja Islam di syarikat berkenan untuk solat fardhu. Tambahan lagi, pihak majikan juga perlu membenarkan pekerja lelaki muslim untuk menunaikan solat jumaat. Ini adalah sebahagian dari syarat-syarat yang perlu dipatuhi semua majikan yang ingin memohon pensijilan Halal JAKIM seperti yang tercatat dalam Manual Prosedur Permohonan Pensijilan Halal Malaysia MPPHM (Semakan Ketiga) 2014.

Sebagai orang Islam, perlunya untuk kita mencari makan halal lagi baik selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2; 168:

“Hai sekalian manusia, makanlah yang Halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu”

Selari dengan ayat ini, JAKIM sangat menjaga Halal dan Toyyiban. Bagi menjaga kualiti Halal, pihak JAKIM akan memastikan produk yang dimohon adalah bebas dari bahan berasaskan arak, bebas dari bahan berasaskan babi dan sembelihan mestilah mengikut syariat Islam. Manakala bagi Toyyiban pula pihak JAKIM akan memastikan Kebersihan dan keselamatan makanan dalam keadaan terbaik seperti yang termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kita sepatutnya bersyukur, hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia hingga kini yang mempunyai Pensijilan Halal yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Pensijilan Halal di negara-negara luar selalunya diuruskan oleh Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Komuniti Islam di negara berkenaan. Hal ini menjadikan sistem Pensijilan Halal Malaysia cuba ditiru malah badan pensijilan Halal negara terbabit cuba mendapatkan tauliah dari JAKIM sebagai standard tertinggi halal dunia.

Sebagai pengguna Islam di Malaysia saya akan pastikan produk makanan di rumah saya adalah Halal dan Toyyiban kerana saya inginkan keberkatan Allah dan ibadah yang saya lakukan diterima Allah sesuai dengan hadis 10 dalam Kitab Hadis 40 Imam Nawawi. Atas sebab ini, saya tidak ragu lagi untuk memilih produk makanan yang terdapat Logo Halal JAKIM yang sah.

Wan Mohd Amir Wan Mohamad Zaharuddin
Graduan Halal Management and Research Academy (HAMRA)


EmoticonEmoticon