BERKORBAN adalah satu bentuk ujian daripada Allah s.w.t. kerana dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita harus melakukan pengorbanan. Hidup tanpa pengorbanan adalah kehidupan yang gagal.
Dalam menjalani hidup yang baik, kita mesti berkorban masa dan tenaga misalnya berusaha mencari rezeki yang halal bagi mengelakkan kemiskinan. Ia merupakan tuntutan hidup mengenai konsep berkorban dalam Islam.
Korban berasal daripada perkataan Arab iaitu udhiyah. Ia menjurus kepada peristiwa pengorbanan satu keluarga iaitu Nabi Ibrahim dan isterinya, Hajar yang sanggup mengorbankan sesuatu yang amat mereka sayangi iaitu anaknya, Nabi Ismail demi kasih dan cinta kepada Allah s.w.t.
Ini adalah nilai pengorbanan yang cukup tinggi di sisi Allah s.w.t. kerana ia bukan sahaja menguji kesabaran Nabi Ibrahim tetapi menduga sejauh mana ketakwaan Nabi Ibrahim. Maka Allah s.w.t. menggantikan tempat Nabi Ismail dengan seekor biri-biri.
Sebagai orang Islam yang beriman, elakkan perasaan rugi dan sia-sia atas pengorbanan yang dilakukan kerana sesungguhnya Allah s.w.t. akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, katanya yang merujuk kepada surah as-Saffat, ayat 100 hingga 111.
Dalam Islam, Allah s.w.t. menggalakkan umatnya memiliki sifat berkorban demi membantu orang yang kurang bernasib baik. Memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib: Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada yang dikorbankan.
Oleh itu, dalam melakukan sesuatu pengorbanan, jangan menganggapnya sebagai sia-sia tetapi sebagai satu cara untuk mendapat peluang yang lebih baik. Allah s.w.t. menjanjikan ganjaran pahala kepada mereka yang sanggup melakukan pengorbanan dan beramal kebajikan kepada mereka yang memerlukan bantuan, ujar Roslan.
Mengenai konsep mengorbankan binatang pada hari-hari tasyrik, secara idealnya adalah lambang kepada sebuah pengorbanan yang menuntut makna tersirat di sebalik yang tersurat. Konsep ibadah korban lebih luas dan mampu melahirkan insan yang berwawasan serta memiliki anjakan paradigma.
Jika dikaitkan ibadah korban dengan realiti semasa hari ini, kita boleh dianggap sebagai gagal sekiranya tidak dapat berkorban untuk orang lain walaupun mampu untuk mengorbankan seekor lembu atau unta.
Dalam konteks ini, kita harus memperbetulkan persepsi dalam masyarakat. Ramai yang mampu mengorbankan binatang tetapi dalam erti kata sebenar tidak dapat menjiwai pengertian korban, kata Roslan mengaitkan ibadah korban dengan pengertian pengorbanan.
Untuk menyemai semangat pengorbanan yang semakin hilang penghayatannya, beliau berkata, ibu bapa boleh menterjemahkannya dalam bentuk amalan harian dengan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Secara tidak langsung, tindakan ini akan melahirkan anak-anak yang mudah membantu orang lain yang kurang bernasib baik.
Kita perlu lahirkan keluarga yang ada nilai-nilai pengorbanan kerana pada hari ini, masyarakat Islam khususnya melalui transformasi dunia yang penuh cabaran.
Sudah sampai satu tahap, umat Islam jangan hanya sekadar membaca sejarah dan kisah mengenai Nabi Ibrahim sebaliknya melihat erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas, katanya.
Senario menarik yang turut berkait dalam isu pengorbanan ialah penglibatan ramai remaja Islam dengan gejala sosial seperti mat rempit, menghisap dadah, pelacuran dan sebagainya. Bagi membanteras permasalahan ini, banyak pihak perlu tampil untuk menyelamatkan remaja yang telah terkorban jiwa dan akhlak mereka akibat terpengaruh dengan rentak dunia yang semakin mencabar.
Tegas beliau, erti pengorbanan masih belum diungkap sepenuhnya kerana persepsi masyarakat yang mengaitkannya dengan pemikiran yang sempit. Pengorbanan yang jelas dapat diungkap apabila anak-anak berkorban menjaga ibu bapa yang sakit, suami menjaga isteri yang sakit, isteri menjaga suami yang sakit atau ada yang mengorbankan kehidupan mereka demi memberi nafas baru kepada golongan kurang bernasib baik.
Mengenai umat Islam luar negara yang ditindas seperti mana yang berlaku di negara-negara barat, Roslan berkata, pengorbanan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka ialah sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. memohon kesejahteraan mereka selain menghulurkan bantuan dari segi tenaga dan kewangan.
Dalam situasi begini juga, umat Islam perlu memiliki sifat hiba, sedih dan marah apabila melihat saudara seIslam ditindas dan hak mereka diketepikan.
Semangat berkorban perlu dijadikan satu budaya agar ia sebati dalam kehidupan seluruh umat manusia. Situasi ini akan menjana keutuhan masyarakat secara keseluruhannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mempedulikan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan orang Islam.
Dalam erti kata lain, budaya berkorban yang diterapkan dalam masyarakat mampu menghindarkan sifat dendam, dengki, khianat dan perbalahan sebaliknya membina umat Islam yang ampuh dan berkualiti.
Dalam Islam, pengorbanan ialah melakukan apa yang mampu kita lakukan termasuk korbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk membantu orang lain yang dalam kesusahan. Contohnya, dalam korban binatang, ada usaha rakyat Malaysia yang melakukannya di Kemboja, Vietnam dan Thailand, jelas Roslan.
Menurut beliau, seseorang yang tidak pernah berkorban untuk orang lain sebenarnya tidak menghargai kehidupan yang dilaluinya di dunia. Pepatah ada menyebut, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Apabila seseorang membantu orang lain yang dalam kesusahan, bantuan itu akan diingat dan dikenang hingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung ia membawa kepada keakraban dalam kalangan umat Islam.
EmoticonEmoticon