Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadis. Papar semua catatan

Larangan Melakukan Kezaliman

zalim

Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman :
"Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman dan Aku menjadikan ia dikalangan kamu sebagai perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim menzalimi di antara satu sama lain.
Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku setiap kamu adalah lapar melainkan sesiapa yang Aku memberikan kepadanya makan, maka mintalah makanan daripada-Ku nescaya akan Ku berikan makanan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Setiap kamu adalah bertelanjang kecuali sesiapa yang Aku berikan kepadanya pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku nescaya akan Ku berikan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-KU ! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan di waktu siang dan malam, dan aku mengampuni segala dosa, maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya akan Ku berikan keampunan kepadamu.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Sesungguhnya kamu tidak akan mampu untuk mendatangkan kemudaratan yang boleh menyakiti-Ku. Dan kamu tidak mampu mendatangkan faedah yang boleh memberikan manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya, kalau semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling bertaqwa di kalangan kamu, kerajaan-Ku tidak akan bertambah sedikit pun di sebabkan perkara tersebut.
Wahai hamba-hamba-Ku ! kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia atau jin, kesemua mereka keadaannya sama dengan hati seorang lelaki yang paling jahat daripada kamu, kerajaan-Ku tidak akan berkurangan sedikitpun disebabkan perkara tersebut.
Wahai hamba-hamba-Ku ! Kiranya semua manusia; yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, daripada kalangan manusia dan jin berada pada satu tempat, mereka meminta kepada-Ku, lalu Aku berikan kepada setiap orang akan permintaannya, maka perkara tersebut tidak akan mengurangkan apa yang ada pada-Ku melainkan sepertimana berkurangnya air lautan apabila dimasukkan sebatang jarum kemudian dikeluarkan daripadanya.
Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia adalah amalan-amalan kamu yang Aku hitungkan untukmu, kemudian Aku sempurnakan balasan kamu disebabkan amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan sesiapa mendapat selain daripada itu, maka janganlah dia mencela kecuali dirinya sendiri."
[ Hadis riwayat Imam Muslim ]



Kandungan Hadis

1.Takrif hadis qudsi
Hadis Qudsi ialah apa yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w daripada Allah.Kadang-kadang melalui perantaraan Jibril a.s dan kadang kala melalui wahyu,ilham atau mimpi dan Rasulullah s.a.w bebas menyampaikannya mengikut susunan bahasa yang disukainya.Tidak ada perbezaan di antara hadis qudsi dan hadis nabawi kecuali pada hadis qudsi Rasulullah menyampaikan sanadnya kepada Allah.Oleh sebab itu,kebanyakan hadis ini disandarkan kepada Allah.Sandaran ini mengambil kira bahawa Allahlah yang bercakap melalui hadis qudsi.Kadang-kadang disandarkan kepada Rasulullah kerana bagindalah yang menyampaikannya daripada Tuhannya.

Perbezaan hadis qudsi dengan Quran:

a)Al Quran adalah mukjizat pada lafaz dan maknanya,berlainan dengan hadis qudsi.

b)Sah sembahyang dengan membaca Al Quran,sedangkan hadis qudsi tidak sah sembahyang malah membatalkan sembahyang.

c)Orang yang mengingkari Quran adalah kafir,orang yang mengingkari hadis qudsi adalah fasik.

d)Lafaz dan makna al Quran adalah daripada Allah manakala bagi hadi qudsi,lafaznya adalah daripada Rasulullah dan maknanya daripada Allah.

e)Tidak harus meriwayatkan al Quran dengan makna manakala hadis qudsi harus diriwayatkan dengan makna.

f)Al Quran tidak boleh disentuh melainkan oleh orang-orang yang bersuci dan hadis qudsi tidak disyaratkan suci ketika menyentuhnya.

g)Tidak harus bagi orang yang berjunub membaca al Quran ataupun membawanya dan harus baginya membawa atau membaca hadis qudsi.

h)Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al Quran diberi pahala sepuluh kebaikan dan hadis qudsi tiada bagi pembacanya semata.

i)Al Quran tidak sah menjualnya(berdasarkan riwayat Ahmad) ataupun makruh menjualnya(di sisi mazhab Syafi'e)berbeza dengan hadis qudsi,ia tidak ditegah untuk dijual dan tidak juga makruh,mengikut kesepakatan ulama.

2.Pengharaman kezaliman ke atas Allah

Lafaz hadis ini "Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku" jelas menyatakan bahawa Allah melarang dirinya daripada melakukan kezaliman terhadap hamba-hambanya.
Firman Allah:
"KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu"
(Qaf:29)

Firmannya lagi:
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
(Yunus:44)

Firmannya lagi:
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
(an-Nisa:40)

3.Pengharaman kezaliman ke atas hamba-hamba.

Allah mengharamkan dirinya daripada berlaku zalim ke atas hamba-hamba-Nya dan melarang mereka daripada menzalimi sesama manusia.Dengan itu Dia mengharamkan setiap manusia daripada menzalimi orang lain.Berlaku zalim itu adlah haram secara mutlak,dan ia terbahagi kepada dua jenis:

a)Menzalimi diri sendiri dan yang paling besar ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu.Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
(Luqman:13)

Ini adalah kerana seseorang yang menyekutukan Allah dengan sesuatu dia telah menjadikan kedudukan mahkluk sama dengan kedudukan Pencipta dan menyamakan hamba dengan Allah.Maha Suci Allah daripada sekutu.

Kezaliman seterusnya ialah maksiat-maksiat dan dosa kecil dan besar.Sesungguhnya di situ terdapat kezaliman terhadap diri sendiri kerana dia menempah azab serta kebinasaan di dunia dan di akhirat.

b)Kezaliman manusia terhadap orang lain.Sesungguhnya hadis-hadis Rasulullah s.a.w berulangkali mengungkapkan pengharamannya serta ancaman supaya tidak melakukannya.Di dalam kitab Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Omar r.a,daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda:

“Sesungguhnya kezaliman itu merupakan kegelapan di hari akhirat”
Di dalam kitab Bukhari dan Muslim juga diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari,daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah menangguhkan(azab) bagi orang yang zalim,tetapi apabila Dia menyeksanya,maka dia tidak akan melepaskannya.Kemudian baginda membaca firman Allah yang bermaksud;”Dan demikianlah azab Tuhanmu,apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim.Sesungguhnya azab-Nya itu tidak terperi sakitnya,lagi amat keras serangannya.”(Huud:102)

Menegakkan keadilan serta mengharamkan kezaliman merupakan tujuan dan matlamat Islam yang terpenting.Keadilan merupakan asas pembinaan mahligai mana-mana kerajaan atau tamadun manakala kezaliman merupakan sebab kejatuhan umat dan tamadun.Kebahagiaan dalam hidup juga hilang dan menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah.

4.Keperluan kepada Allah

Mahkluk semuanya berhajat kepada Allah untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala kemudaratan di dunia dan di akhirat.Mereka sangat berhajat kepada hidayah Allah dan rezeki-Nya di dunia dan mereka amat berhajat kepada rahmat Allah serta pengampunan-Nya di akhirat nanti.Seorang muslim menghampirkan diri kepada Allah dengan menzahirkan keberhajatannya kepada Allah.Ubudiahnya yang sebenar terpapar jelas pada salah satu daripada tiga bentuk:

a)Dengan meminta atau memohon.Allah suka manusia menzahirkan hajatnya kepada-Nya dan meminta segala kepentingan agama dan duniawi mereka yang berupa makanan,minuman dan pakaian daripada-Nya sebagaimana mereka meminta daripada-Nya hidayah dan keampunan.Terdapat dalam sebuah hadis,Rasulullah s.a.w bersabda:

“Hendaklah setiap kamu meminta semua hajatnya kepada Tuhannya sehinggakan tali sepatunya apabila terputus.”

b)Dengan meminta hidayah.

c)Dengan kepatuhan yang sempurna,iaitu dengan menjauhkan diri daripada segala perkara yang ditegah oleh Allah dan melakukan segala suruhan-Nya.

Read More

Orang Pertama Dicampakkan ke Neraka


Daripada Abu Hurairah R.A ,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Sesungguhnya manusia yang pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang mati syahid.Orang itu dihadirkan di hadapan Allah ,lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya.Orang itu mengingati semua nikmat tersebut.Allah bertanya :Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"Orang itu menjawab ."Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh."Allah berfirman :"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani."Dan sememangnya orang ramai menyebutkannya sebegitu.Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.Allah lalu memanggil seseorang yang belajar ilmu,mengajarkannya dan membaca al-Quran .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.Allah lalu bertanya :"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini ?"Dia menjawab :"Aku mempelajari ilmu ,lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran."Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engkau belajar agar disebut alim ,dan membaca al-Quran agar disebut qari(hafiz)".Dan sememangnya orang ramai menyebutnya seperti itu.Orang itu lalu diseret di atas wajahnya ,kemudian dicampakkan ke dalam neraka.Allah lalu memanggil seseorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah .Orang ini dihadirkan ,lalu disebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah s.w.t sehingga ia mengingatinya .Allah bertanya:"Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?"Dia menjawab :"Aku membelanjakannya di tempat-tempat yang engkau kehendaki."Allah berfirman:"Engkau berdusta!!Akan tetapi engaku melakukannya agar dikenali sebagai dermawan."Dan memang orang telah menyebutnya seperti itu .Orang itu lalu diseret di atas wajahnya dan kemudian dicampakkan ke dalam neraka."

(Riwayat Muslim)

Riyak dan Sum'ah

Hadis ini menyebut bahawa antara orang pertama yang masuk ke neraka ialah mereka yang suka menipu agama Allah.Mereka memang beribadah ,namun ibadat itu tidak diniatkan kerana Allah,sebaliknya mereka beribadah agar menjadi buah mulut dan sebutan ramai.Sikap seperti ini disebut riyak dan sum'ah ,melakukan ibadah untuk manusia bukan kerana Allah .Riyak berkaitan dengan penglihatan manusia ,sementara sum'ah berkaitan dengan pendengaran.Sesiapa beramal agar dilihat manusia ,maka itu riyak ,dan siapa yang beramal agar berita amalan itu didengar manusia ,maka itu sum'ah .Kedua-duanya mengundang murka Allah s.w.t.Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Allah s.w.t berfirman:"Sesiapa yang melakuakn suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain,maka Aku berlepas daripadanya.Amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu."Qatadah seorang ulama tabiin di Basrah berkata:"Apabila seorang hamba melakukan ibadah dengan riyak,Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat :"Tengoklah hamba-Ku ini,dia sedang mempersendakan diri-Ku."Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah.Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia,hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut.Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah s.w.t kelak.

Penyakit Orang Baik.

Penyakit ini hanya menghinggapi "orang baik" sahaja.Orang jahat dan tidak mengenali Allah tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali.Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab.Adapun orang yang baik ini ,maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya.Setiap kali melakukan ibadah,dia wajib meluruskan niat agar ibadahnya diterima oleh Allah s.w.t ,terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya.Syeikh Ali al-Khawas berkata:"Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah ,lalu seseorang memujimu ,maka ia satu peringatan atas kekurangan yang terdapat dalam diri.Maka periksalah dirimu,Carilah sebabnya,kenapa manusia memujimu?Boleh jadi Allah melihat kamu menyukai pujian ,maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut.Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan.
"Untuk menghindari sifat ini,kita wajib mengetahui tanda-tandanya.Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita.Ali bin Abi Talib pernah berkata;"Tanda riyak tiga perkara:

  1. Malas beramal jika sendirian
  2. Rajin beramal jika dalam ramai
  3. Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela."

Tanda pertama dan kedua sangat jelas.Orang yang memiliki sifat riyak bermotivasi untuk beramal hanya apabila ramai orang yang melihatnya.Namun apabila tidak ada sesiapa yang melihatnya ,dia akan malas melakukan amalan tersebut.Adapun tanda ketiga tersebut oleh Saiyidina Ali ,ia sangat halus dan jarang disedari.Yakni,sesiapa yang tidak suka pujian ,maka ia tidak takut celaan.Sesiapa yang bebas daripada sifat riyak,ia akan terus istiqamah beramal walaupun semua makhuk mencela dan memulaukannya.Celaan tidak menghentikan amalannya sebagaimana pujian tidak mengerakkanya untuk beramal.Para ulama:"Tidak ada yang mampu menanggung celaan makhluk selain orang yang tidak mengharapkan penghormatan daripada mereka."


Riyak kerana Amalan Orang Lain


Riyak dengan amalan sendiri memang sangat buruk.Namun jauh lebih buruk daripada itu,orang yang riyak dengan amalan orang lain.Berkata al-Fudhail bin 'Iyad:Orang terdahulu riyak dengan amalannya.Namun manusia hari ini riyak dengan apa yang tidak pernah dilakukannya."Orang seperti ini ramai kita temui dalam masyarakat kita kini.CIrinya antara lain suka menyebut kebesaran nenek moyangnya,keturunannya atau orang yang hebat dalam keluarganya padahal ia sendiri tidak memiliki kehebatan tersebut.Dia ingin orang lain menghormatinya atas perkara yang tidak dimilikinya,Imam al-Sha'rani berkata:"Hendaklah orang yang memuji bapa atau datuknya selalu memeriksa hati.Sering kali pujian itu hanya perwujudan hawa nafsu belaka."Orang seperti ini hakikatnya sedang mempersendakan dirinya sendiri.Kalaupun ada orang yang memujinya ,dia bukan kawan sejati.Dia hanya memuji kerana menginginkan sesuatu disebaliknya.Apabila dia tidak mendapat sesuatu yang dihajati itu,pujian tersebut akan segera berubah menjadi celaan.Imam al-Syafi'i berkata:"Sesiapa yang memujimu kerana sesuatu yang tidak engkau miliki,suatu hari nanti dia juga akan mencelamu kerana sesuatu yang engkau tidak miliki."

Hamba yang Dicintai Allah

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Aslam :"Pada suatu hari,Umar bin al-Khattab melihat Mu'az bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Nabi s.a.w.Belau lalu bertanya:"Apakah yang menyebabkanmu menangis?"Mu'az menjawab :"Aku teringat sesuatu yang aku dengar daripada penghuni kubur ini.Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):"Sesungguhnya sedikit riyak ialah syirik.Sesiapa yang memusuhi wali Allah ,maka dia telah menyatakan perang kepada-Nya.Sesungguhnya Allah mencintai hamba-hamba yang berbakti ,bertakwa dan tersembunyi.Jika mereka hadir ,tidak ada yang mengenalinya.Hati mereka ialah lentera-lentera petunjuk."Kekasih Allah tidak menyukai kemasyhuran.Mereka selalu khuatir andai amal ibadahnya ditolak,meskipun telah melakukannya dengan sempurna.Kesibukannya dengan Allah tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain .Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti:"Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu ,harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat.Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?"Semoga Allah memberikan keikhlasan dalam hati-hati kita,mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita.

(sumber daripada Majalah Solusi Isu 36 2011)
Read More

Amalan Berdasarkan Niat





Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar al-Khattab r.a.,beliau berkata:"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya (sah atau sempurna) segala amalan dengan niat.Sesungguhnya untuk setiap orang apa yang dia niatkan.Oleh itu,sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya,maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya.Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau wanita yang akan dikahwininya,maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Keterangan Hadis


Hadis ini menunjukkan bahawa niat merupakan tunjang bagi mensahihkan amalan.Lantaran itu apabila baik niatnya,maka baiklah amalan tersebut.Jika buruk niatnya,maka rosaklah amalannya. Sabda Nabi s.a.w,:(Sesungguhnya segala amalan) bolah menjadi maksud kesahihan sesuatu amalan atau penerimaan amalan tersebut dan dipegang oleh Imam Abu Hanifah dengan mengecualikan amalan -amalan berbentuk melepaskan tanggungjawab atau hak seperti membersihkan najis.Kesahihan amalan tersebut tidak bergantung kepada niat yang sahih,namun pahalanya bergantung kepada niat melakukan ibadat kepada Allah.Jika dia berniat melakukan amalan kerana melaksanakan perintah Allah,dia memperolehi pahala.Jika dia berniat kerana tujuan lain,dia tidak memperolehi apa-apa.


Niat juga disyariatkan bagi membezakan antara adat(kebiasaan) dan ibadah atau membezakan kedudukan dan martabat sesuatu ibadat.Contoh niat membezakan antara adat dan ibadat:Duduk di dalam masjid.Kadangkala bertujuan berehat dan ini adalah adat(kebiasaan).Kadangkala bertujuan ibadah dengan niat i'ktikaf.Yang membezakan antara adat dan ibadat ialah niat.Begitu juga dengan mandi,jika dilakukannya berdasarkan adat kebiasaan,dengan tujuan membersihkan badan.Ia juga dilakukan dengan tujuan ibadah.Yang membezakannya ialah niat.
Pengertian ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w ketika ditanya lelaki yang berperang kerana riya' ,semangat dan keberanian.Siapakah yang berjuang pada jalan Allah s.w.t.Sabda Baginda s.a.w.:


Sesiapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah yang menjulang tinggi ,maka dia berjuang pada jalan Allah Taala.
(riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Contoh niat yang membezakan kedudukan dan martabat sesuatu ibadat:Sesiapa yang bersembahyang empat rakaat ,adakalanya dia berniat solat fardhu seperti solat Zohor,adakalanya dia berniat melakukan solat sunat seperti solat sunat hajat empat rakaat.Maka yang membezakannya adalah niat.

Sabda Nabi s.a.w:(sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya),iaitu dengan berniat dan pilihan sendiri,(maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya),iaitu dari segi hukum dan permintaan syarak.

Sabda Nabi s.a.w:(Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau perempuan yang dikahwininya ,maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut.)


Para ulama telah menukilkan bahawa ada seorang lelaki yang berhijrah dari Mekkah ke Madinah bukan tujuan untuk memperoleh kelebihan dan ganjaran hijrah tetapi berhijrah demi mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais.Lalu beliau digelar'Muhajir Ummu Qais'(riwayat at-Tobhrani)

Jika ditimbulkan persoalan :Perkahwinan merupakan antara tuntutan syarak dan bukan tuntutan keduniaan?
Jawapan:Secara zahirnya ,dia keluar bukan untuk berkahwin tetapi untuk berhijrah.Apabila terdapat perbezaan antara yang batin dan zahir,maka dia layak dicela dan dicerca.

Sabda Nabi s.a.w:(maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut.)Sabda ini menunjukkan seseorang tidak akan memperolehi pahala jika tujuannya menunaikan haji untuk berniaga dan melawat .Sekiranya dia bertujuan untuk menunaikan haji, dia akan memperolehi pahala dan perniagaan tersebut sebagai sampingan sahaja.Namun pahalanya tetap kurang berbanding mereka yang pergi hanya menunaikan haji.Jika kedua-dua perkara tersebut menjadi tujuannya,boleh jadi dia memperolehi pahala.Lantaran pemergiannya bukan bukan kerana dunia semata-mata.


Intisari Hadis

  1. Sesiapa yang berniat ingin melakukan amalan soleh,namun terhalang untuk melakukannya kerana keuzuran yang tidak dapat dielakkan seperti sakit,maka tetap akan mendapat pahala.
  2. Amalan tidak sah tanpa niat tetapi niat tanpa amalan tetap diberi pahala.
  3. Kita haruslah ikhlas dalam melakukan ibadah dan amalan kita agar memperolehi ganjaran dan pahala di akhirat,taufik dan kejayaan di dunia.
  4. Semua amalan yang bermanfaat dan baikyang disertai niat juga ikhlas mencari kerdhaan Allah menjadi ibadah.
Read More