Elak diri daripada nyamuk

air bertakung

Gigitan nyamuk aedes kini semakin digeruni kerana bukan saja boleh menyebabkan seseorang mengalami demam denggi yang boleh membawa maut, tetapi juga virus zika yang mampu menyebabkan kecacatan kekal kepada bayi dalam kandungan.

Keadaan itu seterusnya memerlukan kita mengambil langkah dan bertindak dengan lebih proaktif bagi memastikan kesihatan diri dan semua yang berada di sekeliling kita terjamin.

Mengapa nyamuk menggigit? Ia kerana darah mengandungi protein dan nyamuk betina memerlukan protein sebelum bertelur. Nyamuk akan gigit apa saja yang mengandungi darah termasuk manusia.

Bukan mudah menghapuskan populasi nyamuk namun kita boleh berusaha mencari penyelesaian berkesan menghalau ia daripada menggigit dan menyebarkan virus bahaya.

Ikuti beberapa tip mudah, murah dan berkesan untuk melindungi diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk.

1. Nyamuk tertarik dengan suhu badan yang panas. Elak memakai baju berwarna gelap kerana ia akan menyerap haba dengan lebih banyak sekali gus menarik perhatian nyamuk. Sebaliknya sarung pakaian berwarna cerah atau putih.

2. Sembur penghalau nyamuk pada bahagian badan yang terdedah serta di pakaian terutama sekiranya hendak keluar bersiar-siar. Jika hendak memakai krim pelindung matahari, sapukannya terlebih dulu sebelum menyembur atau menyapu penghalau nyamuk pada kulit yang terdedah.

3. Selain penghalau nyamuk yang dijual secara komersial, kita juga boleh mencuba penyelesaian menggunakan bahan semula jadi seperti serai wangi, minyak tea tree, lemon, bawang putih atau herba seperti kulit kayu manis dan cengkih. Ini kerana ia mengandungi bau kuat yang tidak disukai nyamuk. Ia boleh direndam di dalam air untuk beberapa jam dan gunakan air itu untuk menyapu tubuh atau sekeliling rumah.

4. Apabila hendak melangkah keluar rumah, pakai baju lengan panjang dan seluar panjang yang longgar dan tidak nipis. Ini akan menyelamatkan kita daripada digigit nyamuk kerana ia tidak dapat melekat dan menggigit kulit kita. Biarpun memakai baju berlengan atau seluar panjang namun jika ia terlalu nipis, nyamuk masih mampu menggigit.

5. Pakaian juga boleh disembur dengan penghalau nyamuk bagi langkah lebih berjaga-jaga jika kita kita tidak pasti baju yang kita sarung boleh mengelak diri daripada menjadi mangsa gigitan nyamuk.

6. Pakai stoking dan kasut tertutup ataupun jika mahu memakai kasut terbuka atau selipar, sembur penghalau nyamuk pada kaki dan dan pastikan ia meliputi semua bahagian kulit.

7. Pasang kelambu di katil dan pastikan kain kelambu jauh dari kulit kita. Tidur di tengah tilam atau jangan terlalu rapat dengan kelambu kerana nyamuk masih boleh menggigit jika bahagian kulit kita terlalu rapat pada kelambu kerana kainnya yag terlalu nipis. Periksa seluruh kelambu untuk memastikan ia tidak ada lubang yang boleh menyebabkan nyamuk dapat masuk.

8. Bersihkan sekitar kawasan rumah dengan kerap dan pastikan tidak ada bekas yang dapat menakung air. Kambus bahagian lekukan pada tanah di laman yang didapati boleh menakung air. Pastikan saliran air pada bumbung atau sekitar rumah tidak tersumbat.

9. Jika ragu-ragu dan bimbang digigit nyamuk untuk keluar sebentar contohnya bagi menyidai pakaian, sembur sekitar kawasan luar rumah dengan penyembur nyamuk terlebih dulu. Tapi pastikan diri sudah disapu dengan krim atau semburan penghalau nyamuk.

10. Bagi mengelak nyamuk masuk ke dalam rumah, boleh pasang skrin nipis pada setiap tingkap dan pintu. Dengan cara ini, tingkap boleh dibuka untuk pengudaraan segar, tetapi bebas nyamuk.

11. Minyak yang secara semula jadi mempunyai sifat antibakteria dan antiseptik seperti minyak kayu putih, minyak tea tree dan minyak kelapa boleh dicampur bersama dan disapu pada kulit. Bukan saja ia dapat menghalau nyamuk, ia juga mempunyai sifat terapeutik yang membuatkan kulit lebih sihat.

12. Gabungan minyak serai wangi, minyak pudina dan minyak kayu putih (eucaplyptus) juga berkesan. Sediakan beberapa bunga cengkih, sebatang serai (daunnya sekali) dipotong halus, serta sebiji limau purut, limau nipis atau lemon dan segelas air suam. Perah limau ke dalam gelas air suam dan masukkan bahan lain.


EmoticonEmoticon